10 August 2011

Istimewanya Ramadhan

Hari ini merupakan hari ke-10 umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Tinggal lagi 20 hari sebelum berakhirnya Ramdhan tahun ini untuk kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semua orang tertunggu-tunggu untuk menyambut Aidilfitri. Mungkin sudah ada yang sudah membuat persiapan lebih awal seperti menempah baju, membeli baju baru, membuat langsir dan lain-lain lagi. Pernahkan timbul dalam diri masing-masing betapa sekejapnya Ramadhan ini berlalu dan kita gagal mengambil manfaat darinya.

Ramadhan bulan yang sangat berbeza berbanding bulan-bulan lain. Bulan ini diwajibkan keatas umat Islam untuk berpuasa yang mana ia merupakan rukun Islam ketiga. Ramadhan bukan semata-mata kita berpuasa dari menahan lapar dan dahaga sebaliknya ia adalah bulan yang perlu di gunakan untuk meningkatkan amal ibadah kita. Kita tidak tahu mungkin ini merupakan kesempatan terakhir yang diberikan oleh Allah untuk kita bertemu dengan Ramadhan. 

Bulan Ramadhan sangat istimewa diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman. Semua amal ibadat dan amalan mulia digandakan pahalanya. Bulan ini juga Allah menjanjikan pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Syaitan dan Iblis dirantai agar tidak menggangu manusia. Cuma nafsu yang diuji dengan berpuasa. 

Berbezanya bulan Ramadhan ini kita dapat berpuasa sebulan dengan begitu cemerlang. Kita dapat menahan makan dan lapar dari subuh sehingga maghrib. Berbeza dengan bulan lain mungkin kita hanya mampu berpuasa sunat 2 hari seminggu sahaja. Dugaan dan halangan menghalang kita untuk berpuasa sunat. Tapi di bulan Ramadhan ini kita cukup mudah dan gagah untuk berpuasa walaupun rutin harian kita sama seperti bulan-bulan lain. Begitunya istimewanya Ramadhan...

Setiap malam Ramadhan juga diisi dengan solat tarawih dan tadarus Al-Quran. Kita juga telah mampu menyempurnakan solat berjemaah di masjid dan surau-surau. Masjid dan surau penuh pada setiap waktu dari subuh hingga ke isyak. Diteruskan lagi dengan tarawih, tadarus dan qiamulail. Semua ini kita mampu lakukan pada bulan yang mulia ini. Tiada halangan mahupun dugaan menghalang kita melakukan amal ibadat  ini berbanding bulan-bulan lain. Begitu istimewanya Ramadhan ini.

Jadi dengan kelebihan dan nikmat hidup yang diberikan oleh Allah kepada kita hari ini untuk bersama Ramadhan harus digunakan sebaik mungkin oleh kita. Begitu berkatnya Ramadhan ini sehigga semua amal ibadat dapat dilakukan dengan sempurna tanpa halangan. 

Nasihat ini untuk saya dan pembaca semua..Semoga Ramadhan kali ini merupakan yang terbaik bagi kita..

No comments:

Post a Comment