03 July 2011

Ulasan : Larian Satu Murid Satu Sukan Satu Malaysia

Larian Satu Murid, Satu Sukan Cipta Rekod
TAIPING: Seramai 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak Satu Murid Satu Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan pada Sabtu sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar.
Larian sempena majlis pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Dataran Perbandaran Taiping di sini pagi Sabtu.
Selain penyertaan pelajar, guru dan ibu bapa, larian berkenaan turut berlangsung serentak di 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah Kolej Matrikulasi seluruh negara.Pada majlis pelancaran di sini, Timbalan Perdana Menteri melepaskan 15,000 peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari sekitar Taiping.
Larian tersebut bermula pada 7.45 pagi dan para peserta seluruh negara berlari sejauh 1.5 kilometer (km) manakala peserta di Taiping berlari pada jarak 1.85 km di sekitar Taman Tasik Taiping.
Penyertaan 4,137,126 peserta itu dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar dan diisytiharkan sebagai rekod baru oleh Diana Paul dari MBR dalam kategori larian serentak.
Larian serentak terbesar yang direkodkan MBR sebelum ini ialah larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2000 dengan penyertaan 2.3 juta peserta.
Turut menyertai Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam larian pagi tadi ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.
Dalam ucapan semasa merasmikan program tersebut, Muhyiddin turut menekankan bahawa sukan merupakan satu platform dalam pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah murid-murid selain membentuk integrasi nasional.
"Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah, setiap guru dan kakitangan sekolah," katanya.
Larian berkenaan bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Kementerian sebelum itu mengumumkan hari larian berkenaan boleh dijadikan sebagai hari persekolahan oleh sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, kerana selain acara larian itu, sekolah juga hendaklah mengadakan aktiviti pendidikan seperti hari persekolahan biasa.
Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid, termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan, untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.
Ia berhasrat untuk membangunkan modal insan melalui penyertaan menyeluruh murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan agar mereka menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.
Dasar 1Murid 1Sukan yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Dasar itu yang dilancarkan Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlet sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.
Sementara itu, pelbagai acara lain turut diadakan sempena majlis itu, antaranya senamrobik, pertandingan sepak raga, futsal, bola jaring, tenis, bola tampar serta acara wall climbing. 
sumber: BERNAMA
Tahniah buat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana berjaya mencipta rekod dalam Malaysian Book of Record (MBR) menganjurkan larian Satu Murid Satu Sukan sempena pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan.
Memetik kepada ucapan TPM merangkap Menteri Pelajaran semalam sukan merupakan satu platform dalam pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah murid-murid selain membentuk integrasi nasional. Disamping itu, dasar 1 Murid 1 Sukan juga memupuk budaya sukan di kalangan murid-murid dan mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam sukan. Bagi menjayakan matlamat ini, komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah, setiap guru dan kakitangan sekolah.
Persoalannya sekarang berapa banyak sekolah yang membenarkan pelajar-pelajar mereka bersukan?
Kepimpinan sekolah masa kini lebih menitikberatkan bidang akademik.  Para pelajar yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam akademik di angkat sebagai wira dan kebanggaan sekolah manakala pelajar-pelajar yang berpotensi dalam bidang sukan dipandang sebelah mata oleh pihak sekolah. Mereka di anggap sebagai pelajar yang tidak mempunyai masa depan kerana lebih ke arah bidang kesukanan. Sedangkan mereka juga sama-sama menaikkan imej sekolah di mata masyarakat. Contohnya, Ratu Skuasy negara Datuk Nicol David pelajar Sekolah Menengah Convent di Pulau Pinang. Kejayaan beliau sedikit sebanyak telah menaikkan imej sekolah. Mereka yang terlibat dalam sukan tidak semestinya mereka yang berada di kelas paling akhir, malah ada antara mereka adalah pelajar yang cemerlang dalam akademik. Ada guru yang tidak membenarkan pelajarnya yang berada dalam kelas terbaik terlibat dalam sukan walaupun mereka mempunyai potensi untuk berjaya ke peringkat lebih tinggi. Alasan adalah mereka ini akan menjatuhkan GPS sekolah kerana kemungkinan akan gagal ataupun mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan disebabkan sering tidak hadir kelas akibat menghadiri latihan.
Itu isu bagi pelajar. bagi guru pun berlaku isu yang sama dalam kontek yang lain. Di sekolah masa kini satu matapelajaran telah di masukkan dalam silibus pembelajaran iaitu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK). Guru-guru nya juga mereka yang terlatih dalam bidang pendidikan sains sukan. Bagi pihak pentadbiran sekolah yang mementingkan Gred Purata Sekolah (GPS) yang dikira bedasarkan keputusan peperiksaan, subjek PJK dianggap sampah dan cuma di anggap sebagai subjek yang sekadar memenuhi jadual. Ada sesetengah sekolah memansuhkan subjek ini secara halus. Contohnya subjek PJK akan diambil alih oleh subjek peperiksaan. Subjek PJK cuma di ajar pada awal tahun sahaja, sementara 3/4 tahun lagi adalah untuk subjek peperiksaan. Mungkin selepas ini KPM boleh memasuk subjek PJK dalam peperiksaan besar untuk membendung gejala ini. 
Lagi satu adalah tentang pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Guru. Jarang kita dengar APC ini di berikan kepada Guru-guru PJK. Ia hanya di berikan kepada Guru-guru yang berjaya mendapatkan keputusan 100% bagi subjek masing dalam peperiksaan. Cuma guru-guru ini sahaja yang berjasa pada pihak sekolah. Sedangkan Guru-guru PJK juga berjasa pada pihak sekolah. Mereka melatih pelajar untuk berjaya dalam satu-satu pertandingan sukan. Mereka juga harus di kategorikan mengharumkan nama sekolah.
Aku sekadar berkongsi pendapat yang tidak seberapa selama menjadi guru di sekolah-sekolah sebelum ini. Kalau ada kesalahan harap di maafkan.

2 comments:

  1. *kecik benau tulisan kat atas tu..berpinau mato den ni ha..

    **akademik,ko-ko kena seimbang..kalau tak, jawabnya jadi macam aku lerr bila tua nanti..hak3x

    ReplyDelete
  2. masalah nya cikgu nya xbagi.semua nak akademik je manjang.kesian pada budak yang ada potensi

    ReplyDelete