28 July 2011

Aku, Bola Sepak dan ...

Aku mula mengenali permainan bola sepak ini ketika berumur 7 tahun. Minat ini tercetus apabila pakcik dan sepupu membawa aku ke Stadium Darul Makmur bagi menyaksikan perlawanan membabitkab Pahang dan Sarawak. Bermula dari situ minat terhadap bola sepak mula bercambah. Siaran Langsung di tonton, petang-petang turun pergi main bola, main game bola, main lawan pemadam pun masa tu pun pakai logo negara. Dan yang paling tak boleh lupa buat satu team guna kotak ubat nyamuk Fumakila. Boleh dikatakan semuanya pasal bola.

Yang ajar aku main bola adalh sepupu aku yang dikenali dengan nama Abg Poi. Dia la yang mengajar aku macam mana bermain bola sebenar. Semuanya aku belajar daripada dia. Lebih memudahkan latihan adalah dihadapan rumah aku ada laman yang cukup besar untuk bermain dan berlatih bola.

Di sekolah rendah aku terpilih untuk bermain mewakili kelas dalam pertandingan bola sepak sekolah. Aku ingat lagi nama team tersebut di beri oleh Cikgu Naim, Damak. Satu lagi diberi nama Inderapura. Aku rasa Cikgu Naim minat tengok cerita P.Ramlee kot, itu pasal nama pasukan agak klasik. Itu cerita masa main di sekolah pekan. Lepas pindah sekolah ke kuantan aku masih lagi bermain bola untuk sekolah. Tapi bukan untuk 11 sebelah lagi, aku beralih kepada Street Soccer. Masa itu permainan ini agak popular la. Siapa budak kuantan mesti tahu punya. Tiap-tiap minggu mesti ada pertandingan Street Soccer di Berjaya Megamall. Macam-macam pertandingan diadakan, bawah 10, bawah 12, bawah 15 dan bawah 18. Aku wakil sekolah dapat la no 2. 

Lepas masuk sekolah menengah sekali lagi aku bermain bola untuk pasukan sekolah aku iaitu SMA Al-Ihsan. Ada satu sukan yang memang dikhaskan untuk pelajar sekolah agama di pahang iaitu MASISUPA. Ada pertandingan sukan dan ilmiah. Venue dia tiap-tiap tahun berubah. Setiap sekolah agama di Pahang kena jadi tuan rumah. 2 tahun aku bermain untuk pasukan sekolah. Tapi hanya sekali berjaya menjadi juara. Masa tingkatan 3 dan 4 aku menggantung but disebabkan mak aku marah main bola sampai lupa belajar. Aku pernah dapat nombor akhir dalam peperiksaan awal tahun sebab aktif sangat main dan berlatih bola. Aku pernah kena tidur luar rumah sebab balik lambat main bola. Tapi masuk tingkatan 5 aku kembali bermain untuk sekolah. Tapi tak de nasib kalah awal.

Masuk matrikulasi aku masih main bola lagi tapi cuma sekadar main petang-petang sahaja. Sekadar untuk badan berpeluh. Masuk universiti aku kembali bermain bola untuk pasukan Fakulti. Walaupun tak pernah menang Kejuaraan tapi kami pernah mengalahkan pasukan terkuat kejohanan. Lepas habis Liga Fakulti aku dah jarang turun main bola di padang. Budak-budak rumah aku agak kurang yang bersukan. Kadang-kadang sahaja. Badan pun semakin naik. Lepas kahwin lagi la naik berat badan.

Ini adalah cerita pengalaman aku dan bola sepak. Walaupun sekarang ini aku dah kurang bermain bola sepak tapi aku masih minat dengan permainan ini. Masih terus menyokong bola sepak negara. Tidak kisahlah ketika menang atau kalah. Ini kerana MALAYSIA TANAH TUMPAH DARAHKU... 


No comments:

Post a Comment